Darsawarsa ini, pelancongan desa atau inap desa merupakan industri perkhidmatan yang kian popular di negara kita . Pada tahun 2000 sahaja, anggaran pelancongan yang berkunjung ke Malaysia mencecah 10.2 juta orang. Senario ini, menjadikan Malaysia sebagai negara ketiga paling ramai menerima pelancong Asia Timur selepas China dan Hong Kong. Lantaran itu, pelancongan desa turut menjadi pilihan dan mendapat tempat di mata pelancong asing. Pelancongan desa dapat memberikan pengalaman baharu kepada pelancong supaya menghargai kehidupan di kampung dan mengalami sendiri atau secara dekat budaya dan adat resam negara kita bak kata pepatah Melayu, masuk kandang kambing mengembek, masauk kandang kerbau menguak. Pelancongan desa akan bertambah maju sekiranya pelbagai pihak bergading bahu memajukan industri ini. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk memajukan industri ini agar terus bersinar dan berkembang maju?

Minhaj pertama yang perlu dilaksanakan untuk memajukan pelancongan desa ialah pihak kerajaan perlu mengadakan kempen yang berkesan dan menyeluruh melalui pelbagai media massa untuk mempromosikan kawasan pelancongan di desa kepada pelancong dalam dan luar negeri. Keunikan dan kelebihan sesebuah desa dapat disebar luas kepada masyarakat tempatan dan pelancong asing dengan cepat dengan menggunakan media yang sesuai, misalnya media alternatif. Dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi yang ada pada masa kini, kerajaan boleh membina laman sesawang yang mengandungi pelbagai informasi tentang keistimewaan sesebuah desa di negara kita. Sekiranya pihak kerajaan memandang enteng dan bersikap lepas tangan dalam usaha untuk memajukan industri pelancongan desa, maka industri ini akan terus hilang ditelan zaman atau sekadar indah khabar dari rupa sahaja. Oleh hal yang demikian, mengadakan kempen yang berkesan merupakan langkah progmatik dalam usaha memajukan pelancongan desa agar industri ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas ditelan arus kemodenan serta memanfaatkan masyarakat desa.

Minhaj seterusnya untuk memajukan Pelancongan Desa agar terus berkembang ialah pihak kerajaan melalui Kementeriaan Pelancongan haruslah menyediakan dan membangunkan prasarana pelancongan dalam negara. Dengan adanya prasarana yang sempurna dan kondusif, sudah pasti negara kita akan menjadi destinasi utama bukan sahaja kepada pelancong domestik malah pelancong-pelancong asing. Kemasukan pelancong asing secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi di desa. Pihak kerajaan juga seharusnya mengeluarkan dana untuk diagihkan kepada wakil-wakil di setiap negeri bagi menaik taraf prasarana pelancongan rumah penginapan, kafe siber , bekalan air bersih, kafe dan juga system perhubungan dan pengangkutan. Cuba kita bayangkan bagaimana reaksi pelancong asing yang melancong ke negara kita jika kerajaan tidak mengambil berat terhadap kemudahan infrastruktur? Seandainya pihak kerajaan menjalankan tanggungjawab seperti melepaskan batuk di tangga, maka industry inap desa akan terus berada pada takuk yang sama. Tegasnya, pihak Kementeriaan Pelancongan selaku agensi yang bertanggungjawab dalam bidang pelancongan perlulah merangka program jangka panjang ke arah meningkatkan prasarana bersangkutan dengan sector pelancongan.

Selain itu, pihak pengurusan ‘homestay’ atau pengusaha inap desa perlu merangka pelbagai aktiviti rekreasi sebagai satu minhaj untuk memajukan industri pelancongan desa di negara kita. Aktiviti-altiviti rekreasi perlu dilaksanakan dengan lebih efektif kerana aktiviti tersebut merupakan daya tarikan utama kepada pelancong asing mahupun pelancong tempatan untuk menyertai aktiviti yang dijalankan sekaligus meningkatkan industri pelancongan desa. Pihak pengurusan ‘homestay’ boleh menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi seperti pertunjukan kesenian dan kebudayaan untuk memperkenalkan permainan tradisional masyarakat Melayu seperti gasing,congkak,wau,dan sebagainya. Mereka juga boleh mengadakan pertandingan tarian, permainan tradisional, menuai padi,dan pertandingan membuat kraftangan. Program sebegini bukan sahaja dapat memperkenalkan budaya tempatan kepada pelancong asing tetapi juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan mereka. Melalui aktiviti ini, banyak nilai murni dapat diserap dalam jiwa para pelancong kerana ketika menyertai aktiviti-aktiviti tersebut mereka diasuh untuk saling membantu ibarat hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Seandainya aktiviti rekreasi tidak dilaksanakan dengan kreatif dan inovatif , sudah pasti industri pelancongan desa akan terus mundur dan hilang serinya. Tegasnya, pihak pengurusan ‘homestay’ perlu menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi sebagai prasyarat untuk memajukan industri pelancongan desa di negara kita.

Selanjutnya, kerajaan perlulah merangka dasar jangka panjang dan jangka pendek untuk memajukan sektor pelancongan negara. Kempen “Cuti-Cuti Malaysia” dan ‘Tahun Melawat Malaysia” perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dengan diwarnai pelbagai aktiviti sokongan seperti Pesta Flora Antarabangsa, Pesta Wau Antarabangsa, Acara Sukan Peringkat Antarabangsa dan Pameran LIMA, Pameran Buku dan sebagainya. Seterusnya kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan perlu membangunkan kawasan desa sebagai langkah untuk memajukan industri pelancongan desa. Berdasarkan kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa masih terdapat banyak tempat menarik di Malaysia yang mampu dieksploitasi sebagai tempat pelancongan khususnya di kawasan-kawasan desa. Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan seharusnya mengambil langkah proaktif dengan membangunkan sesebuah desa menjadi sebuah pusat pelancongan. Pihak kerajaan bolehlah mendirikan sekurang-kurangnya satu industri dalam sesebuah desa seperti industri pemprosesan makanan, batik dan kraftangan. Industri desa haruslah diperkembangkan supaya tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas serta dapat memberi pulangan yang lumayan dalam industri pelancongan. Andainya kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan mengambil langkah sebegini, maka industri pelancongan desa di negara kita dapat terus berkembang maju.Tegasnya,untuk memajukan industri desa,kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan hendaklah membangunkan kawasan desa sebagai salah satu pusat pelancongan desa.

Intihanya, semua pihak haruslah memainkan peranan dan bekerjasama bagai ‘aur dan tebing’ dalam merealisasikan modus operandi untuk memajukan pelancongan desa di negara kita. Pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju dalam abad ini. Selain dari sudut komersial pelancongan, peningkatan kunjungan pendatang luar ke negara ini dengan sendirinya dapat memakmurkan Malaysia di mata dunia .Senario ini secara tidak langsung dapat menangkis pandangan negatif negara-negara barat yang suatu ketika dahulu pernah mengatakan negara kita sebagai sebuah negara yang ‘penduduknya tinggal di atas pokok dan bercawat’. Industri pelancongan secara tidak langsung dapat menaikkan nama negara di mata dunia.

Bahan Rujukan Lain:


Kajian Jenis Pekerjaan Penduduk
Kajian Jenis-Jenis Kegiatan Ekonomi
Kegiatan Ekonomi Tradisional di Malaysia
Usaha-usaha untuk meningkatkan pendapatan penduduk:
Kegiatan Ekonomi Yang Berpotensi Dimajukan

Contoh Borang Soal Selidik Kajian:
Panduan Penulisan Tugasan Geografi PT3

Copyright © Koleksi Pendidikan Template Design by RzaaL 1306