Siapa yang tidak gemar untuk melancong. Setiap kali menyebut perihal melancong, sudah tentu tempat-tempat yang menghiburkan seperti taman tema serta kawasan yang mendamaikan seperti pulau, gunung, tasik dan pantai tergambar di kotak fikiran kita. Dengan aktiviti-aktiviti yang tersusun, tempat-tempat ini bukan sahaja akan dapat menghiburkan dan menenangkan jiwa seseorang, bahkan akan dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga yang lain. Namun kini, agropelancongan atau ‘agrotourism’ kian mendapat tempat di dalam hati pelancong dalam dan luar negara. Agropelancongan merupakan satu konsep pelancongan yang berkembang pesat di Malaysia, menawarkan pelancong pelbagai aktiviti luar bandar seperti lawatan ke dusun buah-buah dan ladang ternakan, penyelidikan, rekriasi dan riadah. Pelancong juga berpeluang untuk tinggal di chalet atau inap desa dan melakukan aktiviti-aktiviti harian masyarakat luar bandar.
Secara ringkasnya, agropelancongan adalah bentuk pelancongan yang memanfaatkan budaya luar bandar sebagai tarikan pelancong. Konsep agropelancongan ini telah lama diperkenalkan di negara-negara di seluruh dunia seperti Amerika Syarikat. Malahan di Amerika Syarikat sendiri, aktiviti agropelancongan ini dipercayai telah bermula sejak tahun 1800-an. Disana, pengunjung berpeluang untuk memetik sendiri buah-buahan dan sayuran, menunggang kuda, merasai pengalaman mengutip kepingan madu, membuat keju dan merasa sendiri kehidupan di ladang. Di Thailand pula, agropelancongan telah digunakan sebagai salah satu medium utama untuk menarik pelancong dari seluruh dunia. Saban tahun, berjuta-juta bath telah diperuntukkan oleh Kerajaan Thailand untuk membangunkan industri agropelancongan negara itu. Di Greece pula, industri agropelancongan telah diperkenalkan khusus untuk menarik pelancong ke kawasan pergunungan dan tempat-tempat yang kurang popular dan terpinggir, dengan objektif untuk membangunkan kawasan-kawasan tersebut.
Seiring dengan negara-negara membangun yang lain, kerajaan Malaysia tidak ketinggalan telah menjadikan industri agropelancongan ini sebagai peluang bagi membuka mata masyarakat setempat dan pelancong luar negara untuk mendalami dan merasai sendiri keunikan aktiviti-aktiviti luar bandar yang istimewa serta keenakan buah-buahan tempatan. Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam, Shah Alam, Selangor merupakan projek ulung agropelancongan yang telah diperkenalkan sejak tahun 1989 lagi. Pengunjung berpeluang untuk mengunjungi Taman Buah-buahan Tropika dan Taman Rempah Ratus serta Rumah Iklim Empat Musim. Selain itu, terdapat pelbagai kemudahan riadah seperti berkhemah, memancing, merentas hutan, berkayak, berbasikal, aktiviti Paintball dan Skytrex Adventure. Chalet dan rumah-rumah penginapan juga ada disediakan bagi kemudahan pengunjung yang ingin bermalam. Selain itu, terdapat lebih daripada 100 tempat lagi di seluruh Malaysia yang menyediakan aktiviti agropelancongan ini, antaranya Ladang Nipah Kipli, Kuala Sangklang yang terletak di negeri Perlis, Taman Agro Teknologi Mardi di Langkawi Kedah, Pusat Memproses Madu Lebah FAMA di Kuala Nerang, Kedah, Taman Agro Teknologi Mardi di Cameron Highlands Pahang, Pusat Penerangan dan Santuari Penyu di Cherating, Pahang dan Taman Pertanian di Sabah.
Agensi utama yang bertanggungjawab dalam pembangunan agropelancongan adalah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, manakala Kementerian Pelancongan membantu dari aspek promosi dalam dan luar negara. Produk-produk agropelancongan pula terdiri daripada:-
- Agropelancongan yang berasaskan warisan agro/ berasaskan ladang atau kilang seperti ladang warisan, taman botani, ladang ternakan, lawatan / aktiviti ladang dan pemprosesan agro.
- Agropelancongan yang berasaskan perdagangan dan pertanian seperti hasil kraftangan dan pengeksploitan kebermusinan hasil.
- Agropelancongan berasaskan kulinari seperti masakan tradisional negeri /etnik
- Agropelancongan berasaskan kesihatan dan kesejahteraan seperti spa, rawatan alternatif yang mungkin terdiri daripada spa ikan, bekam lintah dan sebagainya
Di Malaysia, agropelancongan ini dilihat sangat berpotensi untuk menarik pelancong ke negara kita. Menurut sumber Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, jumlah pelancong ke pusat agropelancongan diunjurkan meningkat daripada 1.5 juta pada tahun 2010 kepada 6 juta pelancong pada tahun 2020. Selain itu, agropelancongan juga dapat membasmi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar. Aktiviti-aktiviti seperti penjualan produk tempatan, pembukaan restoran dan pembinaan chalet dan inap desa dilihat dapat dijadikan pendapatan tambahan kepada masyarakat tempatan. Selain itu agropelancongan juga telah memberi manfaat positif dalam menangani masalah pengangguran dan penghijrahan luar bandar, kerana generasi muda mempunyai peluang untuk menjana pendapatan tanpa perlu berhijrah ke bandar yang lebih besar. Chalet dan inap desa contohnya akan memerlukan ramai pekerja tempatan dalam operasi sehariannya. Penghasilan barangan kraftangan pula membuka ruang bagi surirumah untuk menambah pendapatan.
Hubungan antara kerajaan dan penduduk tempatan dilihat sangat penting dalam membangunkan industri agropelancongan. Kerajaan telah melaksanakan pelbagai strategi khusus untuk membangunkan industri agropelancongan ini, antaranya dengan mempelbagaiakan produk agropelancongan, menyediakan pakej pelancongan mengikut negara, menaik taraf kemudahan asas, penginapan dan pengangkutan di pusat agropelancongan serta memperkukuhkan kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan agropelancongan. Penglibatan penduduk tempatan pula dilihat sebagai satu aspek yang sangat penting dalam aktiviti agropelancongan dan perlu dirancang dengan teliti, kerana industri pelancongan bergantung semata-mata terhadap budaya tempatan dan sumber-sumber semula jadi, dan penglibatan penduduk tempatan dalam operasi tempat-tempat agropelancongan ini. Tanpa kerjasama daripada kedua-dua entiti ini sudah tentu industri agropelancongan ini semakin lama semakin pudar dan akhirnya hilang begitu sahaja.
Bahan Rujukan Lain:
Kajian Jenis Pekerjaan Penduduk
Kajian Jenis-Jenis Kegiatan Ekonomi
Kegiatan Ekonomi Tradisional di Malaysia
Usaha-usaha untuk meningkatkan pendapatan penduduk:
- Menceburi Industri Kecil dan Sederhana (IKS)
- Meningkatkan Permintaan Terhadap Hasil Dalam Sektor Pertanian dan Perikanan
- Menjalankan Perniagaan Online (Atas Talian)
- Membuat Kerja Digital – Pekerja Digital
Kegiatan Ekonomi Yang Berpotensi Dimajukan
- Pelancongan Desa
- Inap Desa
- Langkah-langkah Memajukan Inap Desa
- Usaha-usaha Menjayakan Industri Tradisional
- Agro pelancongan - Konsep Pelancongan Alaf Baru
Contoh Borang Soal Selidik Kajian:
Panduan Penulisan Tugasan Geografi PT3