1.0 Pengenalan
Industri tradisional sememangnya tidak boleh dipinggirkan kerana mempunyai potensi yang begitu besar dan penghasilannya juga dapat membantu dalam meningkatkan ekonomi penduduk dan negara ini. Ulaskan pernyataan tersebut dan jelaskan cara-cara memajukan industri tradisional.
Pada alaf baharu ini, sektor perindustrian diberikan tumpuan yang sepenuhmya untuk menjana ekonomi negara. Namun, kebanyakan pihak tidak sedar bahawa industri tradisional yang juga mampu meningkatkan ekonomi negara semakin dipinggirkan. Sebenarnya, industri ini berpotensi tinggi untuk dimajukan dan dijangka akan memberi banyak sumbangan dalam ekonomi negara. industri tradisional merupakan wadah bagi menghasilkan kerja tangan yang dibuat oleh penduduk desa yang masih menggunakan teknik tradisional yang diwarisi sejak zaman nenek moyang mereka.
Memang tidak dapat disangkal bahawa industri tradisional merupakan salah satu industri yang berperanan penting di Malaysia. Kebanyakan penduduk di luar bandar tidak mempunyai pekerjaan yang tetap dan ada dalam kalangan mereka terpaksa bekerja dari siang malam semata-mata untuk menyara keluarga mereka. Mereka hidup dalam keadaan yang serba kekurangan dan ada kalanya mereka hanya mengisi perut dengan ubi kayu. Jika industri tradisional ini dimajukan, peluang pekerjaan akan bertambah dan seterusnya taraf kehidupan penduduk desa dapat ditingkatkan.
Selain itu, industri tradisional yang kaya dengan budaya Malaysia yang tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan juga dapat membantu dalam usaha menarik pelancong asing berkunjung ke negara kita. industri tradisional di negara kita sememangnya dapat dimajukan jika pihak kerajaan dan pihak yang terlibat mengambil inisiatif untuk mengusahakannya. Pihak kerajaan harus sentiasa memberi sokongan dan bantuan kewangan bagi merealisasikan industri desa sebagai penggerak perkembangan dan pertumbuhan ekonomi yang mantap. Industri ini harus diberikan nafas baharu melalui suntikan teknologi moden untuk meningkatkan produktiviti supaya industry ini mampu menembusi pasaran dunia sekali gus meningkatkan pendapatan Negara kita. Masyarakat kita juga harus mengiktiraf industri tradisional sebagai satu industri yang mampu memberi sumbangan dalam pembangunan negara. Industri ini dijangka akan mendatangkan pulangan yang lumayan dalam masa lima tahun jika kerajaan sanggup memperuntukkan jumlah yang lebih besar untuk industri ini. Di samping itu, konsep jualan hasil industri tradisional melalui orang tengah harus digantikan dengan konsep jualan langsung kerana kebanyakan sikap orang tengah diibaratkan enau di dalam belukar melapaskan pucuk masing-masing. Mereka mengaut keuntungan yang banyak dengan menjual hasil industri desa dengan harga yang tinggi kepada pengusaha-pengusaha di bandar. Oleh itu, industri tradisional haruslah bekerjasama dengan badan kerajaan bagi menghidupkan industri tradisional ini. Sebaik-baiknya, industri ini harus diuruskan oleh anak-anak kampung yang berpendidikan supaya mereka berpeluang berbakti kepada tempat kelahiran mereka tanpa perlunya berpindah ke bandar untuk mencari nafkah hidup. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan berperanan penting dalam usaha menggalakkan generasi muda masa ini untuk menceburi industri tradisional supaya industri ini dapat berkembang ke seluruh pelosok dunia .
2.0 Usaha-usaha menjayakan industri tradisional
2.1 Kerajaan
Usaha pertama yang boleh dilakukan ialah kerajaan memberikan bantuan dan galakan kepada mereka yang berminat. Bantuan dan galakan yang berterusan penting terutama kepada pengusaha yang baru sahaja menjalankan sesuatu industri tradisional. Kerajaan boleh memberikan bantuan modal dan khidmat nasihat secara berterusan. Sebagai contoh, kerajaan perlu banyak mengadakan kursus yang berkaitan industri desa seperti batik, kraftangan dan makanan tradisional.
Untuk memajukan lagi industri desa kerajaan boleh memperkenalkan konsep”Satu Daerah Satu Produk”. Melalui cara ini, setiap kampung perlu menghasilkan sesuatu produk dan memasarkan sendiri barangan mereka. Dalam hal ini, mereka perlu diberikan bimbingan,latihan dan cara-cara untuk memulakan sesuatu industri desa. Sebagai contoh, kerajaan negeri Melaka telah memperkenalkan rancangan ”Satu Daerah, Satu Industri”. Sesungguhnya, setiap kerajaan negeri boleh mencontohi usaha tersebut untuk mengembangkan ekonomi masyarakat khususnya di luar bandar.
Pihak kerajaan perlu mendorong rakyat Malaysia membeli barang buatan desa melalui kempen yang dilaksanakan. Pihak kerajaan perlu bersikap proaktif dengan mewajibkan kakitangan kerajaan agar memakai baju batik pada setiap hari Khamis.
Selain itu,pihak kerajaan harus mempromosikan hasil industri tradisional dan kain batik ke seantero dunia. Sehubungan itu, para pelancong asing akan tertarik dengan keunikan kain batik. Natijahnya, industri pelancongan akan turut berkembang maju.
Misalnya kerajaan hendaklah menyediakan peralatan moden dan canggih seperti bot berteknologi canggih. Hal ini membolehkan para nelayan meningkatkan hasil tangkapan ikan dan seterusnya mempelbagaikan produk yang diperbuat daripada ikan,misalnya ikan kering dan keropok lekor.
2.2 Pengusaha
Pengusaha industri tradisional perlulah menvarlasikan corak, nilai estetika dan keaslian produk industri tradisional yang dihasilkan bagi menjana pertumbuhan industri tradisional negara. Selaras itu, usaha bersepadu ini dilihat sebagai formula yang dinamik ke arah meningkatkan daya saing produk tempatan yang dinamik ke arah meningkatkan daya saing produk tempatan khasnya di peringkat antarabangsa.
Selain itu, pengusaha industri tradisional haruslah bijak mencari peluang dan platform dalam usaha mempromosikan atau mengkomersialkan produk mereka di peringkat domestik mahupun global. Sekiranya pengusaha industri tradisional mengaplikasikan pendekatan global dalam mencari peluang perniagaan, maka tidak hairanlah satu hari nanti produk industri tradisional negara mampu duduk sebaris dengan produk industri tradisional antarabangsa. Tuntasnya pengusaha industri tradisional haruslah lebih berinisiatif dan kreatif dalam memanipulasikan teknologi ICT agar industri tradisional dapat bersaing secara kompetitif di peringkat global.
2.3 Penggunaan alat-alat teknologi moden
Penggunaan alat-alat teknologi moden penting untuk meningkatkan keluaran dan kualiti industri desa. Penghasilan produk industri tradisional yang semakin meningkat dan berkualiti penting untuk mewujudkan daya saing. Pihak yang terlibat perlu mengadakan kursus tentang cara menggunakan peralatan mesin dan jentera. Sebagai contoh, penggunaan mesin penting untuk menghasilkan produk industri tradisional yang berkaitan dengan pembuatan makanan tradisional. Jelas bahawa penggunaan alat teknologi moden, akan menarik lebih ramai lagi mereka yang berminat menceburkan diri dalam industri tradisional.
Konsep pelaksanaan industri kecil-kecilan yang dilaksanakan berdasarkan produk-produk yang sedia wujud di kampung-kampung berkenaan boleh dijadikan sebagai menambah pendapatan selain memberikan khidmat runding cara atau bantuan mesin di bawah pelbagai agensi kerajaan seperti FAMA, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Pembangunan Luar Bandar atau MARDI.
2.4 Media massa
Peranan media massa amat penting dalam usaha kita mengekalkan industri tradisional.ini. Media massa bertanggungjawab mempromosikan industri tradisional kepada seluruh warga Malaysia. Sejajar dengan kepesatan arus pemodenan, peranan media massa dalam usaha mengekalkan industri tradisional amat penting sekali. Media massa seperti media elektronik amat sesuai dengan pemikiran generasi muda sekarang, media ini memegang amanah mempromosikan dan menyebarkan maklumat tentang keunikan barangan kraf tangan.
Selain itu, wartawan rancangan Majalah 3 juga tidak ketinggalan melaporkan kepelbagaian barangan industri tradisional seperti seni anyaman, seni ukir kayu, seni sulaman, hasil kraf tembikar dan perusahaan membuat barangan logam. Oleh itu, peranan media massa menerusi promosi hasil industri tradisional sememangnya tepat kerana kewujudan media elektronik sebagai medium untuk mempromosikan industri tradisional selari dengan gaya hidup moden generasi muda pada alaf baru ini. Lagipun, rakyat Malaysia mempunyai televisyen di rumah masing-masing.
Media massa boleh menjadikan iklan barangan industri tradisional sebagai selingan semasa menayangkan sesuatu rancangan. Rakyat akan dapat maklumat terkini berkaitan barangan buatan Malaysia. Hal ini jelas menunjukkan bahawa media massa bertanggungjawab menggalakkan rakyat membeli barangan industri tradisional.
2.5 Sekolah
Sekolah juga merupakan salah satu organisasi bagi memajukan industri industri tradisional. Pihak sekolah haruslah mendedahkan maklumat kepada para pelajar dengan lebih mendalam lagi tentang kesenian industri tradisional supaya industri industri tradisional tidak ditelan zaman. Sebagai contoh pihak sekolah menganjurkan pameran dan mengadakan pertandingan hasil industri tradisional, secara tidak langsung pelajar akan terdedah dengan industri industri tradisional. Hal ini kerana pelajar masa ini lebih cenderung memilih barangan moden dan berjenama. Pihak sekolah juga haruslah menubuhkan kelab warisan yang lebih menerapkan kesenian industri tradisional. Dengan adanya kelab-kelab sebegini industri tradisional tidak lenyap ditelan zaman. Secara tidak langsung, pelajar dapat menonjolkan bakat yang terpendam dan kreativiti mereka untuk menghasilkan barangan industri tradisional mengikut imaginasi serta acuan mereka sendiri akan terlaksana.
Guru-guru di sekolah juga seharusnya memupuk perasaan cinta akan negara. Guru-guru boleh menerangkan kebaikan pembelian barangan industri tradisional dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru juga boleh menjadi teladan kepada pelajar dengan menggunakan barangan industri tradisional.Oleh hal yang demikian, guru adalah suri teladan kepada pelajar.
2.6 Ibu bapa
Ibu bapa juga berperanan menggalakkan ahli keluarga membeli barangan industri tradisional. Ibu bapa perlu menjadi contoh kepada anak-anak dengan menggunakan barangan buatan Malaysia di rumah.Contohnya, perabot, pakaian, makanan dan barangan elektrik. Kesannya, anak-anak akan mengikuti jejak langkah ibu bapa, bak kata peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya. Oleh itu, ibu bapa perlu menunjukkan teladan kepada anak-anak.
2.7 Peranan individu
Kita membeli barangan industri tradisional dan menggunakannya. Barangan industri tradisional berkualiti dan setanding dengan barangan import. Kita harus berbangga dengan barangan industri tradisional. Kita perlu menggunakan barang industri tradisional dalam kehidupan seharian. Oleh itu sebagai rakyat Malaysia kita perlu berbangga dan menyokong barangan industri tradisional.
Seterusnya, perihal masyarakat dewasa ini, suka akan barang yang mempunyai reka bentuk moden. Hal ini menyebabkan barangan tradisional khususnya barangan daripada hasil kraf tangan di Malaysia semakin dipandang lesu oleh segenap lapisan masyarakat. Masyarakat seharusnya mengetepikan persepsi negatif terhadap hasil industri tradisional yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan. Masyarakat itu sendiri perlulah memberikan sambutan yang menggalakkan terhadap industri tradisional dengan cara membeli barangan tradisional seperti bakul anyaman, wau, hasil ukiran tangan dan hasil sulaman. Dengan cara ini akan menaikkan taraf industri tradisional di negara kira. Masyarakat haruslah melibatkan diri dalam industri tradisional itu sendiri dengan cara mengadakan atau menubuhkan kelas serta kelab yang melibatkan industri tradisional di Malaysia. Jelaslah bahawa komitmen dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat diperlukan dalam usaha memartabatkan lagi industri tradisional di negara kita.
3.0 Kesimpulan
Konklusinya, industri tradisional sememangnya dapat memberi nafas baharu kepada masyarakat luar bandar dan seterusnya meningkatkan pendapatan per kapita negara. Oleh itu, pihak yang terbabit harus sentiasa memastikan bahawa penduduk di kawasan luar bandar diberikan bantuan dan kemudahan yang secukupnya untuk meningkatkan hasil industri tradisional. Para pengusaha industri ini juga harus melakukan anjakan paradigma selaras dengan keadaan semasa supaya industri tradisional di negara kita dapat dimajukan ke tahap yang maksimum dan mampu mengharumkan nama Malaysia di arena antarabangsa. Malaysia Boleh!
Bahan Rujukan Lain:
Kajian Jenis Pekerjaan Penduduk
Kajian Jenis-Jenis Kegiatan Ekonomi
Kegiatan Ekonomi Tradisional di Malaysia
Usaha-usaha untuk meningkatkan pendapatan penduduk:
- Menceburi Industri Kecil dan Sederhana (IKS)
- Meningkatkan Permintaan Terhadap Hasil Dalam Sektor Pertanian dan Perikanan
- Menjalankan Perniagaan Online (Atas Talian)
- Membuat Kerja Digital – Pekerja Digital
Kegiatan Ekonomi Yang Berpotensi Dimajukan
- Pelancongan Desa
- Inap Desa
- Langkah-langkah Memajukan Inap Desa
- Usaha-usaha Menjayakan Industri Tradisional
- Agro pelancongan - Konsep Pelancongan Alaf Baru
Contoh Borang Soal Selidik Kajian:
Panduan Penulisan Tugasan Geografi PT3