Remaja bermaksud golongan yang berumur antara 15 hingga 25 tahun itu. Biasanya, golongan ini meliputi pelajar sekolah, pelajar universiti, dan mereka yang baru menceburi alam pekerjaan. Maka, golongan muda ini mempunyai banyak tugas untuk pembangunan negara tersebut.

Tugas utama remaja ialah mereka perlulah memiliki jati diri yang tinggi dalam kehidupan. Jati diri ini melibatkan akhlak yang mulia, pegangan agama, dan nilai diri yang positif. Sebenarnya, jati diri yang lengkap ini akan menjadikan remaja kita bebas daripada sebarang gejala sosial yang boleh memusnahkan kehidupan remaja itu.

Selain itu, peranan remaja juga melibatkan usaha mencari ilmu pengetahuan yang banyak untuk masa depan mereka. Ilmu ini boleh diperoleh menerusi pendidikan di sekolah, kolej, dan universiti yang harus dihadiri oleh remaja tersebut. Jelaslah, remaja yang berilmu tinggi akan membantu menjalankan pelbagai aktiviti pembangunan untuk negara Malaysia.

Tambahan pula, remaja yang bertanggungjawab akan menyumbangkan pelbagai idea dan pendapat yang mampu memajukan Malaysia. Golongan muda ini mempunyai pelbagai idea yang kreatif dan inovatif untuk memajukan negara terutama menerusi penggunaan internet. Jadi, idea yang baru ini akan memudahkan aktiviti membangunkan negara daripada aspek politik, sosial, dan ekonomi.

Remaja juga boleh membantu negara dalam bidang pembangunan apabila golongan ini menjaga imej negara dan masyarakatnya. Mereka bukan sahaja tidak terlibat dalam aktiviti negatif tetapi turut mengharumkan nama negara apabila berjaya meraih sesuatu kejayaan seperti dalam acara sukan. Akibatnya, semua pihak terutama negara asing akan mengenali Malaysia setelah melihat kejayaan remaja kita di persada dunia tersebut.

Kesimpulannya, semua remaja harus memahami tugas mereka amat penting dalam pembangunan negara itu. Mereka perlulah sanggup berkorban jiwa dan masa untuk memastikan negara ini terus maju dan moden dalam tempoh yang terdekat itu. Peribahasa di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung membuktikan bahawa remaja memiliki tugas berat dalam merealisasikan wawasan negara ini.

Copyright © Koleksi Pendidikan Template Design by RzaaL 1306