KATA TUGAS: PUNCA/ SEBAB/ FAKTOR

ISI 1: SIKAP INDIVIDU YANG TERLIBAT

            Punca utama menularnya masalah atau gejala ini di Malaysia ialah sikap setiap individu yang terlibat yang suka melakukan aktiviti negatif. Kebanyakan daripada kita lebih suka bersikap mementingkan diri sendiri dan tidak bertanggungjawab kepada negara tercinta ini.Dengan ini, aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang negara dan agama serta normal masyarakat akan dilakukan sehingga menggugat keharmonian negara ini. Kegagalan kita menggunakan akal fikiran secara waras atau rasional telah mendorong sebahagian daripada kita melakukan aktiviti yang telah menjatuhkan maruah seluruh rakyat Malaysia di mata dunia. Oleh itu, sikap individu turut mempengaruhi berlakunya sesuatu masalah atau gejala yang tidak sihat dalam keadaan masyarakat kita.

ISI 2: KEGAGALAN IBU BAPA MENDIDIK ANAK-ANAK

       Selain itu, kegagalan ibu bapa memberi didikan agama dan moral yang sempurna juga oleh dikaitkan dengan timbulnya masalah atau gejala ini. Hal ini kerana, ibu bapa zaman sekarang lebih mementingkan kerjaya dan kekayaan duniawi daripada menjaga anak-anak mereka sendiri. Sikap lepas tangan ini dapat dilihat apabila mereka telah menyerahkan tugas mendidik anak-anak kepada pengasuh dan guru-guru di sekolah. Anak-anak pula dibesarkan dengan kemewahan sehingga merosakkan masa depan mereka kerana telah dilalaikan dengan wang yang diberi itu. Jadi, agama tidak lagi menjadi benteng yang ampuh untuk menghalang anak-anak daripada  terjebak dalam kancah masalah ini.Tegasnya, ibu bapa turut berperanan meningkatkan gejala yang kita bincangkan ini.

ISI 3: PENGARUH MEDIA MASSA

         Di samping itu, pengaruh pihak media massa yang telah menyiarkan pelbagai rancangan dan program yang negatif di kaca televisyen telah meningkatkan lagi masalah ini.Begitu juga, dengan penjualan majalah-majalah hiburan di pasaran telah mendorong para remaja melakukan pelbagai kegiatan yang kurang sihat dan tidak bermoral. Hal ini demikian kerana, pengaruh media masa sangat kuat dalam membentuk keperibadian dan akhlak rakyat di negara ini.Sebenarnya,pihak barat telah menggunakan media massa untuk menjatuhkan sesebuah negara dengan mempengaruhi fikiran rakyat dengan budaya negatif dan tidak bermoral. Kita amat sedih dengan pihak media massa di negara kita yang tidak sensitive dengan suasana dan budaya ketimuran yang kita amalkan selama ini cuba dihancurkan melalui penerbitan rancangan dan bahan tidak membina minda rakyat. Hal ini kerana, mereka hanya memikirkan kekayaan tanpa merenung jauh impak besar yang terpaksa ditanggung oleh kita pada hari muka. Jelaslah bahawa, pihak media massa telah menjadi penyebab gejala ini terus meningkat dalam masyarakat kita yang semakin membimbangkan kita semua.

ISI 4: PENGARUH RAKAN SEBAYA / SILAP MEMILIH RAKAN

            Selain itu, pengaruh rakan sebaya atau silap memilih rakan juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan timbulnya masalah atau gejala ini. Kajian yang telah dilakukan mendapati bahawa pembentukan sahsiah atau perketi remaja sekarang amat kuat dipengaruhi rakan-rakan mereka. Hal ini kerana, mereka lebih banyak menghabiskan masa bersama-sama rakan berbanding dengan orang lain seperti ibu bapa, guru-guru dan ahli keluarga. Sekiranya kita perhatikan anak-anak seawal usia 6 tahun sudah dihantar ke sekolah sehinggalah 19 tahun mancapai dewasa membesar di sekolah bersama-sama rakan. Oleh itu, dalam jangka masa yang lama sudah pasti pelbagai perangai atau tabiat rakan-rakan daripada pelbagai latarbelakangan itu akan ditiru mereka. Maka, tidak hairanlah apabila kita dilaporkan banyak kes-kes jenayah telah dilakukan oleh remaja kita pada hari ini hasil daripada silap memilih rakan sewaktu di bangku sekolah. Walau sehebat mana didikan ibu bapa di rumah tidak akan menjamin anak-anak mereka tidak melakukan perkara yang tidak baik sekirannya silap memilih kawan. Jelaslah, pengaruh rakan sebaya sangat hebat sehingga mampu mempengaruhi seseorang remaja menjadi baik atau jahat.

ISI 5: MASYARAKAT TIDAK PRIHATIN / CAKNA MASALAH SETEMPAT

            Di samping itu, sikap masyarakat yang kurang prihatin atau tidak mengambil tahu isu-isu semasa yang sedang melanda di persekitaran mereka telah meningkatkan lagi masalah atau gejala tersebut. Semangat ukhuwah dan persaudaraan telah semakin hilang daripada jiwa anak watan akibat perubahan zaman moden ini. Oleh itu, lahirlah masyarakat individualistik yang tidak mempedulikan fenomena yang sedang melanda persekitaran mereka. Masyarakat kita sudah hilang perasaan ingin menegur kelakuan-kelakuan sumbang yang berlaku di depan mata kerana menganggap tidak boleh menjaga tepi kain orang. Sikap ini tidak menyumbang kepada pembentukan masyarakat madani yang bersatu padu seperti yang dihasratkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad mantan Perdana Menteri Malaysia dalam Wawasan 2020.  Pada masa yang sama, persekitaran kampung dan taman perumahan tidak lagi menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi muda yang lebih berakhlak, berdaya saing dan kreatif kerana segala nilai ketimuran yang diwarisi daripada nenek moyang telah hampir lenyap ditelan zaman. Justeru, masyarakat yang tidak prihatin ini telah menjadi punca meningkatnya masalah atau gejala ini di negara kita.


ISI 6: KELEMAHAN PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG  
          OLEH PIHAK KERAJAAN

        Seterusnya, faktor lain yang telah meningkatkan lagi  masalah atau gejala ini di negara kita ialah kelemahan penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada oleh  pihak kerajaan. Hal ini, telah menyebabkan mereka yang melanggar peraturan atau undang-undang negara sering kali sahaja terlepas begitu sahaja. Dengan kata lain, kebanyakkan pesalah ini selamat daripada sebarang tindakan mahkamah seperti denda atau penjara. Agensi penguatkuasaan undang-undang negara seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sering dikaitkan dengan gejala sogokkan yang akan mengagalkan kita mengheret individu yang bersalah ke mahkamah. Malah, kita sering mendengar pihak berkuasa akan mengadakan pelbagai strategi apabila timbul sesuatu isu yang melibatkan keselamatan negara. Apabila lama masa berlalu segala usaha tersebut tidak dilaksanakan lagi umpama hangat-hangat tahi ayam menunggu isu itu kembali dihangatkan di media massa barulah masing-masing bergegas untuk menanganinya semula. Saya optimis, masalah atau gejala ini  semakin berleluasa di negara kita kerana kegagalan pihak kerajaan mengambil tindakan dengan lebih tegas terhadap individu yang terlibat melanggar undang-undang negara kita.


KATA TUGAS: CARA/ LANGKAH/ PERANAN/ USAHA

ISI 1: PERANAN PIHAK KERAJAAN

            Antara langkah untuk menyelesaikan kemelut ini ialah pihak kerajaan perlu mengadakan lebih banyak kempen secara berterusan di seluruh negara. Hal ini kerana, kempen yang dijalankan dengan menyeluruh itu akan dapat menyedarkan orang ramai tentang sesuatu isu atau gejala yang sedang melanda negara. Sehubungan dengan itu, agensi-agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dengan kempen itu perlu digerakkan secara optimum ke serata lokasi di negara ini. Aktiviti turun padang seperti ini sudah pasti akan memudahkan maklumat tentang usaha pihak kerajaan membanteras gejala tersebut dapat disampaikan secara langsung kepada rakyat di negara ini. Sebagai contoh penganjuran Karnival Komuniti 1Malaysia oleh Kementerian Penerangan Malaysia telah berjaya membentuk minda dan sikap rakyat yang lebih positif. Saya optimis, pihak kerajaan perlu memperkasakan lagi kempen penerangan untuk mengurangkan sesuatu gejala yang tidak baik melanda negara.


ISI 2: PERANAN PIHAK MEDIA MASSA

            Selain itu, peranan pihak media massa yang berkesan amat dituntut dalam untuk mengatasi masalah atau gejala ini daripada terus berpanjangan tanpa kesudahan. Kita cukup yakin dengan peranan media massa yang merupakan penjana utama perubahan minda dan pemikiran  rakyat. Dalam konteks ini, pihak media elektronik perlu menyiarkan rancangan dan program yang mampu mendidik orang ramai menjadi warganegara yang matang. Sebagai contoh, stesen televisyen utama negara seperti TV3 telah menyiarkan pelbagai rancangan keagamaan untuk membentuk sahsiah generasi muda seperti al-Kuliyyah, Semanis Kurma dan Motivasi Pagi. Begitu juga, program Iman Muda, Ustazah Pilihan dan Tanah Kubur di saluran Astro juga telah berjaya mendidik remaja menjadi orang yang berilmu serta bertaqwa. Tegasnya, pihak media massa perlu menyumbang tenaga dalam usaha mengatasi masalah atau gejala ini dengan lebih berkesan lagi.

ISI 3: PERANAN IBU BAPA

            Di samping itu, masalah atau gejala yang sedang melanda negara kita ini boleh diatasi dengan penglibatan yang lebih serius daripada ibu bapa. Hal ini demikian kerana, ibu bapa merupakan insan yang paling rapat dengan anak-anak sejak mereka dilahirkan lagi berbanding orang lain. Mereka adalah guru yang pertama kepada anak-anak sebelum dihantar ke sekolah. Sehubungan dengan itu, didikan agama yang sempurna perlu diberikan sejak anak-anak masih kecil lagi, bak kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila mereka sudah mempunyai jiwa yang bersih dan suci, sudah pasti segala gejala yang tidak baik akan dihandari. Hal ini kerana, hanya agama sahaja yang mampu menjadi benteng yang ampuh untuk meghalang kita daripada melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Justeru, peranan ibu bapa amat diperlukan untuk menjayakan sesuatu program mengatasi gejala yang dibincangkan ini.

ISI 4: PERANAN RAKAN SEBAYA

            Umum mengetahui bahawa, peranan rakan sebaya merupakan salah satu langkah yang singnifikan dalam kerangka kita menyelesaikan masalah atau gejala ini.  Tugas seorang rakan yang baik ialah menjadi penasihat kepada taulan  supaya melakukan segala kebaikan dan meninggalkan semua perkara yang negatif. Malah, mereka juga perlu menjadi teladan kepada orang lain dalam usaha merealisasikan slogan pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara. Hal ini demikian kerana hampir 90 peratus remaja di negara kita terlibat dalam aktiviti yang tidak baik ini kerana termakan pujukan rakan-rakan mereka. Sebagai contoh, seorang remaja yang terlanjur boleh kembali ke pangkal jalan setelah dinasihati oleh rakan-rakan mereka supaya bertaubat dan tidak lagi mengulanginya. Justeru, benarlah seruan Dato’ Dr. Fadhilah Kamsah kepada golongan remaja agar bijak memilih rakan demi masa depan yang lebih cerah dan cemerlang. Apabila remaja sentiasa melihat akhlak rakan-rakannya yang baik, berbudi bahasa dan menjunjung budaya ketimuran sudah pasti mereka juga akan mengikut sama amalan tersebut. Jelaslah, paranan rakan sebaya amat signifikan untuk membentuk akhlak, sikap dan tingkah laku seseorang remaja di negara kita.

ISI 5: PERANAN MASYARAKAT

            Di samping itu, masalah atau gejala yang sedang bermaharajalela ini boleh dibenteras dengan penglibatan masyarakat kita secara menyeluruh. Hal ini demikian kerana peranan masyarakat tidak dapat dinafikan lagi boleh menyelesaikan masalah dengan dengan lebih cepat lagi. Masyarakat berperanan menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk menangani isu-isu yang berlaku di persekitaran mereka. Oleh itu, kerjasama yang padu amat diperlukan supaya setiap gerak kerja yang dirancangkan itu akan berjaya dan membuahkan hasil seperti yang dihajati. Pada masa yang sama, masyarakat juga perlu membudayakan amalan atau cara hidup yang murni secara konsisten berdasarkan tuntutan agama serta budaya masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Hasilnya, para remaja atau generasi muda mempunyai contoh dan panduan dalam melayari kehidupan mereka pada zaman moden ini. Oleh itu, mereka tidak akan mudah terikut-ikut dengan budaya barat yang serba kekurangan atau gersang dari segi  nilai dan akhlak insaniah sejati.  Tegasnya, masyarakat merupakan salah satu tangga kearah menyelesaikan sesuatu masalah dan gejala yang sedang menjadi virus kepada genarasi muda pada hari ini.

ISI 6: PERUBAHAN SIKAP INDIVIDU

            Seterusnya, segala usaha yang dibincangkan sebelum ini untuk mengatasi masalah atau gejala tersebut tidak akan berjaya sekiranya setiap individu yang terlibat masih ditakuk lama. Oleh itu, perubahan sikap atau anjakan paradigma seluruh rakyat di negara ini hendaklah berlaku secara besar-besaran tanpa mengira bangsa, budaya dan agama. Kita perlu menjernihkan pemikiran kearah yang lebih positif dan rasional serta bersesuaian dengan zaman globalisasi kini. Apabila kita menggunakan akal fikiran dengan cara yang betul sudah pasti segala masalah atau gejala negatif itu akan ditinggalkan kerana merugikan diri, keluarga, bangsa dan negara. Jelaslah, perubahan sikap individu adalah satu elemen yang penting untuk menyelesaikan masalah ini. Persis kata peribahasa, hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih boleh dijadikan panduan setiap individu yang terlibat untuk mengatasi masalah tersebut.

KATA KUNCI: PERANAN IBU BAPA TERHADAP ANAK-ANAK

ISI 1: IBU BAPA MEMBERI DIDIKAN AGAMA &  ILMU   PENGETAHUAN

            Peranan utama ibu bapa untuk melahirkan generasi yang bijak dalam menyelesaikan sesuatu masalah ialah memberi didikan agama dan ilmu pengetahuan yang sempurna. Hal ini demikian kerana, ilmu diibaratkan sebagai cahaya yang menjadi penyuluh dikala kita berada dalam kegelapan ertinya kejahilan. Apabila ilmu penuh di dada sudah pasti anak-anak mampu menilai sesuatu perkara dengan baik dan rasional sebelum dilakukan.  Dalam konteks ini, ilmu agamalah menjadi teras utama dalam kehidupan kita kerana mampu menyekat kita daripada terjebak dalam pelbagai gejala yang kurang sihat. Pada masa yang sama ibu bapa perlu mengajar anak-anak dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk mereka bekerja dan mendapat kesenangan hidup di dunia ini. Saya optimis, ibu bapa berperanan untuk mendidik anak-anak dengan ilmu agama dan pengetahuan untuk menjadi seorang insan kamil.

ISI 2: IBU BAPA MENJADI SURI TELADAN ATAU “ROLE MODEL”

            Selain itu,  peranan ibu bapa untuk melahirkan warganegara yang baik ialah mereka perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak sejak kecil lagi. Hal ini demikian kerana, ibu bapa merupakan insan yang paling dihormati dan disayangi oleh anak-anak. Sehubungan dengan itu, ibu bapa mestilah menunjukkan contoh yang terbaik kepada anak-anak terutama dari segi penghayatan rohaniah, adab-adab dan budaya masyarakat timur semasa membesarkan cahaya mata mereka itu. Kesempurnaan yang dimiliki oleh ibu bapa menyebabkan anak-anak tidak perlu lagi menjadikan artis, pelakon dan selebriti sebagai idola ikutan mereka. Tamsilnya, Dato’ Seri Mohd Najib telah mewarisi corak kepimpinan ayahandanya iaitu Tun Abdul Razak semasa memimpin negara ini. Jelaslah, ibu bapa mestilah menjadi suri teladan yang terbaik untuk dicontohi oleh anak-anak mereka sejak kecil lagi, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

ISI 3: IBU BAPA MEMBERI MOTIVASI DAN DORONGAN

            Di samping itu, anak-anak yang semakin meningkat dewasa ini perlu diberi motivasi dan sokongan yang padu daripada ibu bapa untuk menjadi insan yang sempurna. Sehubungan dengan itu, ibu bapa mestilah prihatin dengan minat, bakat dan kecenderungan anak mereka kearah memperkembangkan potensi tersebut. Semangat yang diberikan itu akan meningkatkan lagi usaha anak-anak untuk mencapai kejayaan dalam bidang pilihan mereka. Dalam konteks ini, ibu bapa mestilah menyediakan keperluan-keperluan yang mahu digunakan oleh anak-anak untuk menerokai pelbagai bidang yang diminati seperti sukan, kemahiran dan pendidikan. Misalnya, kejayaan Nik Nur Madihah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah berkat sokongan, doa dan solat hajat yang dilakukan oleh kedua orang tuanya. Tegasnya, motivasi dan sokongan daripada ibu bapa sangat ditagih untuk meningkatkan semangat anak-anak untuk berjaya dalam hidup mereka.

ISI 4: IBU BAPA MEMANTAU AKTIVITI HARIAN ANAK-ANAK

            Seterusnya, ibu bapa juga bertanggungjawab untuk memantau segala aktiviti harian yang dilakukan oleh anak-anak sama ada di rumah atau di luar rumah. Pemantauan ini perlu dilakukan secara berterusan dan penting untuk mengawal mereka agar tidak sekali-kali terjebak dalam kegiatan yang tidak baik. Di rumah ibu bapa mestilah menyediakan jadual harian bermula dari awal pagi sehingga malam dengan aktiviti yang boleh menjana minda mereka. Elakkan membeli program permainan interaktif kerana anak-anak akan malas membaca dan suka membuang masa di hadapan kaca televisyen sepanjang masa. Apabila mereka berada di luar rumah, ibu bapa wajib memantau rakan sebaya yang rapat dengan anak-anak mereka untuk mengelak daripada tersalah memilih rakan. Pemantauan ini perlu dilakukan dengan berhemat dan bijaksana agar anak-anak tidak merasakan diri mereka dikongkong. Justeru, ibu bapa mestilah memantau sebarang aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka sama ada di rumah atau di luar rumah untuk mengelak berlakunya perkara yang tidak kita ingini.

Copyright © Koleksi Pendidikan Template Design by RzaaL 1306