LATIHAN 1
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah menyertai kegiatan kokurikulum dan cara-cara menggalakkan pelajar menyertainya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Bidang kurikulum dan kokurikulum saling berkait rapat sekali gus menjadi teras bagi meningkatkan keupayaan dan kebolehan pelajar mencapai kecemerlangan. Bidang kokurikulum kini menjadi pelengkap kepada proses pembelajaran di sekolah. Kokurikulum boleh ditakrifkan sebagai satu saluran pembelajaran yang berasaskan gerak kerja yang tersusun dan terancang.

Terdapat tiga komponen utama aktiviti kokurikulum di sekolah, iaitu badan beruniform, persatuan atau kelab, dan sukan serta permainan. Aktiviti badan beruniform menekankan aspek pembentukan disiplin diri pelajar. Pelajar dilatih dengan soal ketepatan masa, mematuhi pemimpin, sentiasa bersedia dan cergas, serta sentiasa bersemangat juang yang tinggi. Selain itu, pelajar juga diuji dengan daya ketahanan fizikal dan mental melalui aktiviti seperti berkawad dan merentas halangan. Semangat bekerjasama dan berdikari turut disemai dalam aktiviti badan beruniform. Latihan-latihan ini akan menguatkan lagi daya ketahanan mental pelajar walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran.

Penglibatan dalam persatuan atau kelab pula membawa penekanan implikasi yang berlainan. Dalam aktiviti berpersatuan, pelajar akan mendapat pelbagai pengetahuan, khususnya dalam hal-hal pengurusan dan pentadbiran. Sebagai contoh, pelajar diasuh dengan kemahiran pengurusan mesyuarat, membuat surat rasmi, kertas kerja dan laporan, mencatat minit, berkomunikasi dengan baik, memberikan idea yang bernas dan latihan berhujah. Apabila berpersatuan, pelbagai pandangan dan idea boleh dikongsi antara sesama ahli. Pengalaman dalam menguruskan mesyuarat juga merupakan satu proses kematangan diri. Latihan-latihan ini dapat memberikan satu pengalaman baharu yang berbeza daripada bidang akademik.

Aktiviti sukan dan permainan sudah pasti memberikan penekanan kepada implikasi, pemikiran strategik dan kekuatan fizikal. Selain memperoleh badan yang cergas, minda juga turut menjadi cergas. Sukan bukan sahaja berkait tentang persoalan siapa yang menang atau siapa yang kalah, sebaliknya sukan memupuk keyakinan diri, menghormati peraturan dan semangat juang yang tinggi. Pelajar juga dididik dengan semangat kerjasama dan toleransi sesama ahli pasukan. Maka tidak hairanlah apabila sukan boleh merentasi sempadan bangsa, politik dan benua. Apabila menyertai ketiga-tiga komponen utama kokurikulum yang dinyatakan sebelum ini sebenarnya pelajar telah menambah nilai terhadap diri sendiri. Mungkin dalam kalangan pelajar ada yang tidak menyedari bahawa nilai tambah ini merupakan sesuatu yang sangat bernilai. Malah, akhir-akhir ini kokurikulum menjadi satu nilai tambahan dalam proses pengambilan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Dengan kata lain, kita akan dapat menghasilkan generasi berilmu yang mempunyai kebolehan dan kesungguhan yang menyeluruh.

Aktiviti kokurikulum juga mampu membentuk modal insan yang berkualiti pada masa hadapan. Sejarah telah membuktikan pemimpin tersohor negara lahir daripada kalangan mereka yang aktif yang berpersatuan semasa zaman remajanya.

(Dipetik dan diubahsuai daripada
Pembentukan Sahsiah Diri Melalui Aktiviti Kokurikulum oleh Abd Ghani bin Abu,
Dewan Siswa, Julai 2007)



Latihan 2
Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian tulis satu rumusan tentang akibat tidak membaca bahan yang bermutu dan langkah-langkah untuk mengatasinya . Panjang rumusan anda mestilah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Banyak yang boleh kita andaikan sekiranya remaja hari ini tidak minat membaca. Remaja akan ketinggalan tentang perkembangan pesat yang berlaku di dunia pada hari ini. Dunia hari ini berada di bawah telunjuk globalisasi yang menjadikan maklumat dan ilmu sebagai asas perkembangannya. Sekiranya remaja tidak gemar membaca dan kalau membaca pun menumpukan perhatian kepada hal-hal yang ringan dan bercorak hiburan, gosip, hal-hal picisan, tahayul, kisah-kisah artis dan penghibur semasa, dia tidak mencanai dan mengembangkan ilmu.
Tanpa bahan-bahan baik yang dibaca, remaja tidak akan melatih diri untuk berfikir dan menganalisis. Generasi yang tidak berfikir tidak akan menghasilkan idea-idea yang bermakna. Dalam buku terkandung sumber maklumat dan ilmu yang amat berguna untuk remaja. Buku merakamkan idea-idea yang berbagai-bagai, menghimpunkan analisis manusia tentang sesuatu peristiwa atau keadaan dan mencatatkan fakta dan data yang ditemui penulis dan pengkaji terhadap pelbagai perkara. Buku membantu remaja berkongsi, mengetahui dan mendapat jalan ilmu tentang perubahan dan kemajuan.

Masyarakat Barat dan Jepun amat gemar membaca. Membaca bukan saja menjadi tabiat sebahagian masyarakat mereka di segenap peringkat tetapi juga menjadi sebati dan ketagihan. Jika tidak membaca ada semacam kekosongan dalam hidup . Apabila mendapat bahan yang hendak dibaca ibarat seseorang mendapat teman yang sangat dikasihi. Sebab itu orang Barat dan Jepun mampu menempa kemajuan dan perubahan. Mereka membaca dalam kapal terbang, dalam kereta api, sambil menunggu bas dan apabila ada masa terluang.

Tabiat membaca mesti dipupuk dan dilatih sejak kecil lagi. Anak-anak yang masih kecil elok didedahkan dengan bahan-bahan bacaan yang memikat minat mereka membaca. Walaupun pada peringkat awal anak-anak suka melihat gambar atau cerita-cerita yang bercorak kartun, galakan harus diberi supaya anak-anak suka membaca cerita. Fikiran kanak-kanak yang hanya didedahkan dengan bahan bacaan kurang bermutu tidak akan berkembang. Mereka hanya berupaya memikirkan perkara-perkara yang remeh. Justeru, apabila dewasa mereka tidak berupaya menghadapi desakan hidup yang lebih mencabar.

Bagi remaja, membaca buku teks kadang-kadang menjadi suatu paksaan. Kalau tidak kerana tuntutan belajar dan ingin lulus dalam peperiksaan, buku teks akan terbiar begitu saja. Sesetengah pula berpendapat bahawa setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia, membaca sudah tidak perlu lagi. Banyak masa remaja dihabiskan di hadapan media elektronik bagi mendapatkan bahan-bahan yang bercorak hiburan, picisan malah kadang-kadang melalaikan. Para remaja harus memupuk kecenderungan membaca bahan-bahan yang baik dan berfaedah. Apa yang remaja baca ada kesannya pada minda, pada sikap mental malah pada tanggapan dan hobi.

Sebuah negara yang sedang menuju tahap negara maju seperti Malaysia seharusnya memiliki generasi muda yang minat membaca. Kekuatan bagi sesebuah negara yang bakal maju banyak bergantung pada kemampuan ilmu pengetahuan dan pemikiran rakyatnya. Hal ini bermula sejak zaman remaja lagi. Sekiranya para remaja hanya cenderung membaca bahan-bahan ringan semata-mata dan tidak memiliki minat untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, maka globalisasi yang sedang kita tempuh bakal menyebabkan kita terpinggir daripada arus maklumat, ilmu dan juga kemajuan. Proses negara maju harus seimbang dengan darjah berfikir rakyatnya. Darjah pemikiran rakyat hanya boleh meningkat sekiranya proses mendapatkan maklumat, menguasai ilmu, membandingkan bahan-bahan kajian dan meneliti penemuan-penemuan baru menerusi pembacaan. Pembacaan boleh berlaku sama ada menerusi media cetak ataupun elektronik seperti internet.

Latihan 3
Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan melancong dalam negeri dan faktor perkembangan industri pelancongan. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 perkataan.

Program Cuti-Cuti Malaysia yang diperkenalkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan pada tahun 1999 berjaya mengubah pandangan percutian domestik dalam kalangan penduduk negara ini. Rakyat Malaysia sudah melihat percutian sebagai satu keperluan hidup. Mereka tidak lagi menganggap pergi bercuti sebagai satu pembaziran wang, tenaga, atau masa. Oleh hal yang demikian, kerajaan memperkenalkan program tersebut untuk menggalakkan rakyat pergi melancong dalam negeri.

Kerajaan menyedari bahawa dengan bercuti rakyat dapat merehatkan minda sekali gus dapat mempertingkatkan kualiti hidup seseorang. Perjuangan kerajaan untuk memenuhi keperluan hidup rakyat dapat dikatakan selesai khususnya dalam aspek penyediaan kemudahan asas untuk hidup. Rakyat digalakkan beriadah, bersukan, bersantai, serta bercuti kerana semua aktiviti itu adalah untuk meningkatkan kualiti hidup mereka. Seseorang itu perlu berehat, kerana apabila seseorang berada dalam keadaan letih dan lesu produktivitinya pasti menurun. Apabila seseorang itu pergi bercuti, mereka bukan sahaja dapat berseronok dengan keluarga, malah pada masa yang sama menimba pelbagai pengetahuan dan pengalaman baru.

Program Cuti-Cuti Malaysia juga memberi peluang kepada rakyat negara ini mengenal tempat-tempat menarik dalam negeri sendiri sekali gus membantu untuk merancakkan sektor pelancongan domestik. Memang tidak dapat dinafikan bahawa bukan semua rakyat Malaysia mengenal tempat sendiri. Tegasnya, melancong dalam negeri jauh lebih murah berbanding dengan melancong ke luar negara. Oleh hal demikian, komponen terpenting dan utama dalam percutian ialah soal berkaitan dengan kos pengangkutan. Dengan memandu sendiri, berkongsi kereta atau menaiki kenderaan pengangkutan awam seperti bas dan kereta api, kos pengangkutan dapat dijimatkan. Pada masa yang sama, aktiviti berbelanja dapat mempercepat aliran pusingan wang bagi menjana ekonomi negara. Sebelum Program Cuti-Cuti Malaysia diperkenalkan, kadar penginapan bilik di hotel-hotel di negara ini amat menyedihkan, tetapi selepas itu kadar penginapan bilik mencecah antara 40 hingga 80 peratus khususnya pada musim cuti sekolah dan cuti umum. Oleh itu, kerajaan yakin sektor pelancongan akan menjadi salah satu penyumbang utama ekonomi negara jika diberi perhatian serius.

Selepas melalui kegawatan ekonomi yang begitu meruncing pada tahun 1997, kerajaan sudah melihat bahawa negara tidak boleh bergantung selamanya kepada ekonomi luar negara. Oleh itu, kerajaan membuat keputusan untuk memperkukuh sektor pelancongan domestik sebagai satu industri yang akan menyumbang kepada pendapatan negara. Setelah sektor pelancongan domestik memperlihatkan momentum perkembangan yang menarik, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan telah memperluas usaha menarik kedatangan para pelancong luar ke negara ini khususnya dari negara-negara di rantau Asia Tenggara dan Asia seperti Singapura, Thailand, Indonesia, Hong Kong, Taiwan, China, serta negara-negara di Asia Barat.

(Dipetik dan diubah suai daripada petikan Pelancongan domestik momentum baru ekonomi oleh Rozaman Ismail, Utusan Malaysia, 20 Ogos 2003)

Latihan 4
Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor yang menghalang usaha memajukan sektor pertanian dan kepentingan sektor pertanian. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 perkataan.

Hasrat kerajaan untuk menjana kembali sektor pertanian negara dapat dilihat apabila nama Kementerian Pertanian telah ditukar menjadi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya mampu memainkan peranan yang lebih berkesan kepada perkembangan industri tani negara. Hal ini kerana sektor pertanian menjadi salah satu tulang belakang ekonomi negara pada waktu itu. Namun, perubahan zaman menyaksikan transformasi dari sebuah negara yang berasaskan sektor pertanian bertukar menjadi sebuah negara perindustrian. Jika dibandingkan secara reaktif antara sektor pertanian dan sektor perindustrian jumlah upah, insentif dan suasana tempat kerja di sektor pertanian adalah tidak begitu kompetitif. Hal ini secara langsung menyukarkan usaha kerajaan untuk menarik minat golongan muda bekerja di sektor pertanian. Persepsi bahawa mereka yang terlibat dalam sektor ini sering dikaitkan dengan kemiskinan turut menyumbang kepada masalah ini. Sesungguhnya, tanggapan negatif ini memang patut diubah.

Kerajaan memperuntukkan RM11.4 bilion bagi membangunkan sektor pertanian di bawah RMK-9. Penubuhan agensi-agensi kerajaan seperti Bank Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, dan banyak lagi menunjukkan betapa seriusnya kerajaan membantu golongan yang terlibat dalam sektor ini. Di samping usaha tersebut, terdapat beberapa cabaran yang terpaksa dihadapi oleh sektor pertanian negara. Faktor guna tenaga negara yang kebanyakannya kini berkelulusan tinggi turut menyulitkan keadaan apabila para graduan universiti lebih berminat bekerja di sektor yang lebih glamor. Mereka berasa rugi kerana tidak mendapat kerja yang bersesuaian dengan diploma atau ijazah jika bekerja di sektor pertanian. Tidak hairanlah apabila statistik yang dikeluarkan mendapati hampir 50,000 graduan kini menganggur. Selain migrasi buruh yang lebih cenderung ke arah sektor lain, terdapat juga migrasi sumber terutamanya fungsi tanah yang telah bertukar menjadi tapak-tapak perindustrian. Keadaan ini ketara di kawasan utara Semenanjung Malaysia yang suatu ketika dahulu dipanggil Jelapang Padi negara dan kini semakin bertukar menjadi lembah industri berteknologi tinggi.

Tekanan kawalan harga atas kebanyakan produk hasil tani mengakibatkan pulangan keuntungan yang diperoleh usahawan tani tidak besar. Keadaan semakin buruk apabila harga komoditi mentah sektor pertanian juga sangat dipengaruhi oleh pasaran antarabangsa yang tidak menentu. Usaha untuk memasarkan hasil tani tempatan yang bermutu turut berhadapan dengan sikap kebanyakan negara maju yang masih mengamalkan dasar melindungi sektor pertanian mereka. Sesungguhnya kesemua cabaran tersebut tidak mematahkan semangat kita, tetapi wajar dijadikan perangsang untuk terus bersaing dan memajukan lagi sektor pertanian negara. Walaupun Malaysia terus menjadi sebuah negara perindustrian, diharap sektor pertanian tidak dipinggirkan oleh kerajaan.

(Diubahsuaikan daripada rencana Cabaran Memajukan Sektor Pertanian Negara oleh Mohd. Nahar Mohd. Arshad, Utusan Malaysia, 7 Jun 2004)




Latihan 5
Baca petiakn di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha membanteras remaja merokok dan sebab-sebab usaha tersebut kurang berjaya. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Amaran merokok membahayakan kesihatan sudah kerap diperkatakan tetapi mesej tersebut gagal menembusi sanubari perokok untuk mendorong mereka menghentikan tabiat merokok. Berdasarkan laporan Pertubuhan Sedunia (WHO), kira-kira empat juta manusia mati setiap tahun sebagai akibat penyakit yang berkaitan dengan merokok. Sementara itu, lebih 100, 000 perokok dimasukkan ke hospital di seluruh Negara akibat daripada sakit jantung, kanser dan penyakit sekatan pulmonary kronik yang menyebabkan Negara mengalami kerugian kira-kira RM 20 juta billion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti. Tabiat merokok dalam kalangan rakyat Negara ini juga dipercayai menyebabkan peningkatan kes kanser paru-paru dengan kadar 17 peratus setahun.

Kenyataan yang menakutkan ini memaksa kerajaan melancarkan kempen Antimerokok Kebangsaan yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Kempen tersebut bermatlamat menjadikan Malaysia Negara yang bebas daripada perokok. Sasaran kempen kali ini ialah pelajar sekolah memandangkan pertambahan bilangan remaja yang merokok semakin membimbangkan, khususnya dalam kalangan mereka di bawah umur 18 tahun. Peningkatan dari segi bilangan remaja yang ketagih rokok memerlukan satu program yang lebih berkesan bagi menghentikan tabiat buruk ini. Sewajarnya remaja diberi kesedaran dan didikan mengenai bahaya serta kesan buruk ketagihan rokok dari peringkat awal lagi.

Pelajar yang ditangkap ketika menghisap rokok di kawasan sekolah dikenakan tindakan tegas selain diberi nasihat atau keunseling. Pihak sekolah bertanggungjawab juga memaklumkan perkara itu kepada ibu bapa pelajar untuk mendapat kerjasama dalam usaha mencari jalan yang terbaik menyelesaikan masalah merokok dalam kalangan pelajar. Kerajaan sudah berada di landasan yang betul dan hanya perlu mempertingkatkan beberapa aspek dalam program atau aktiviti yang disediakan sepanjang tempoh kempen tersebut.

Hanya dengan menunjukkan bukti yang nyata, misalnya kesan merokok terhadap paru-paru, perokok dapat disedarkan bahawa nyawa mereka kini dalam bahaya akibat daripada sikap mereka yang tidak mengendahkan amaran supaya berhenti merokok. Hal ini dapat dilakukan melalui penyiaran iklan pendek yang berulang kali di televisyen, misalnya tentang perbezaan antara paru-paru perokok dan paru-paru mereka yang tidak menghisap rokok. Dalam hal ini, amaran bahawa merokok membahayakan kesihatan pada kotak sahaja tidak cukup untuk menakutkan mereka, apatah lagi untuk meminta mereka berhenti merokok.

Selain itu, iklan rokok atau yang ada kaitannya dengan jenama rokok perlu diharamkan sama sekali di media massa, sebaiknya iklan atau program yang memaklumkan cara untuk membebaskan diri daripada ketagihan merokok diperbanyak dan disiarkan berulang kali. Di samping itu, pihak berkuasa disarankan juga agar memperbanyak kawasan yang dilarang merokok dan memastikan bahawa orang ramai yang melanggar peraturan dikenakan tindakan undang-undang yang setimpal.

(Dipetik da diubahsuaikan daripada rencana Kerjasama semua Pihak Pastikan Kerajaan
Kempen Antimerokok oleh Hasliza Hassan, Berita Harian, 13 Februari 2004.)


Latihan 6

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah mengawal kes keracunan makanan di sekolah dan punca-punca keracunan makanan. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan


Makanan, kesihatan dan pembelajaran saling berkait rapat. Makanan yang berkhasiat dapat menjana kecergasan badan supaya sentiasa sihat. Kecerdasan minda yang pelbagai sebenarnya hasil pemakanan yang berkhasiat. Tetapi, sejak akhir-akhir ini negara kita digemparkan dengan berita kes keracunan makanan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Saban hari ada sahaja paparan tentang kes keracunan di sekolah sama ada dalam media cetak atau media elektronik. Kesal dengan kejadian inilah, Kementerian Pelajaran tidak teragak-agak akan menamatkan kontrak pengusaha kantin jika terbukti mereka bersalah.

Perkara yang berlaku itu mewujudkan kekesalan kepada pihak kementerian dan pelbagai cara telah difikirkan seperti mengedarkan Buku Panduan Khas Pengendalian Kantin Sekolah kepada semua pengusaha kantin sekolah. Pihak kementerian juga bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dengan memohon agar mereka melakukan pemantauan yang berkala di semua kantin sekolah.Pemantauan yang dilakukan perlu teliti dan cermat agar tidak terlepas pandang. Untuk meminimumkan kes keracunan ini juga, pihak sekolah patut memberikan maklum balas keadaan kantin kepada Pejabat Pelajaran Daerah masing-masing. Selain itu, guru kesihatan yang dilantik oleh pihak sekolah perlu melakukan pemeriksaan terus ke kantin setiap bulan.

Pihak Kementerian Kesihatan juga perlu menggariskan langkah sewaktu pengendalian makanan oleh pengusaha kantin sekolah. Dengan garis panduan ini, setidak-tidaknya memberi pedoman kepada pengusaha kantin untuk mengetahui tatacara yang betul tentang pengurusan kantin sekolah. Kursus-kursus pengurusan kantin sekolah juga patut dilaksanakan memandangkan jika hanya pengetahuan teori sahaja tidak begitu efektif berbanding secara praktikal.

Pihak sekolah juga disaran membuat tindakan susulan jika didapati keadaan kantin tidak memuaskan. Sehubungan dengan itu, pengusaha kantin sendiri perlu mengutamakan kebersihan setiap masa. Soal pemakanan murid amatlah penting kerana murid perlu sihat untuk belajar kerana badan yang sihat dapat menjana minda yang cerdas. Makanan yang berkhasiat penting untuk tumbesaran kita.


(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Fokus, PENDIDIK : Ariff Awang
Majalah Pendidik MAC 2008

Copyright © Koleksi Pendidikan Template Design by RzaaL 1306