Tajuk Ramalan Sejarah 2 SPM 2017 : Peningkatan Tamadun (Perundangan)

PENINGKATAN TAMADUN (PERUNDANGAN):

FAKTA :

  1. Pandangan Plato tentang undang-undang
  2. Latar belakang undang-undang Rom
  3. Cabang undang-undang Rom
  4. Prinsip undang-undang Rom
  5. Pelaksanaan undang-undang dalam tamadun India
  6. Pelaksanaan undang-undang dalam tamadun China


KBAT :

  1. Kepentingan undang-undang dalam membina ketamadunan manusia
  2. Sebab prinsip undang-undang Rom masih kekal hingga ke hari ini
  3. Padahnya jika manusia membelakangkan undang-undang
  4. Perlukah undang-undang dilaksanakan dengan tegas ?
  5. Langkah meningkatkan kepatuhan terhadap undang-undang


PERUNDANGAN YUNANI :
Bagaimanakah pandangan ahli falsafah Plato tentang undang-undang ?
[2 markah]
Undang-undang diperlukan untuk mewujudkan kehidupan yang aman dan sejahtera
Undang-undang bertujuan untuk mengawal tindakan masyarakat
Negara perlu diperintah oleh ahli falsafah
Ahli falsafah adalah golongan yang berupaya menggubal undang-undang




PERUNDANGAN ROM :
Jelaskan tentang latar belakang undang-undang bertulis dalam tamadun Rom.
[4 markah]
Undang-undang bertulis yang pertama dalam tamadun Rom ialah Hukum Kanun 12. Undang-undang ini dipahat pada 12 keping kayu. Hukum Kanun 12 dikenali juga dengan nama Papan 12. Undang-undang ini diletakkan di tempat awam untuk tatapan rakyat.

Maharaja Justinian mengumpulkan, menyatukan dan membukukan  undang-undang Rom. Ini adalah kerana terdapat terlalu banyak undang-undang dan ada antaranya yang rumit. Usaha beliau telah melahirkan Kod Undang-Undang Rom pada tahun 527 Masihi. Kod itu dikenali juga dengan nama Undang-Undang Justinian. Undang-undang tersebut kekal sehingga kini.


Senaraikan cabang undang-undang Rom.
[2 markah]
Undang-undang sivil
Undang-undang jenayah
Undang-undang natural


Nyatakan dua prinsip undang-undang Rom yang menjadi asas perundangan pada hari ini.
[2 markah]
Semua manusia sama di sisi undang-undang.
Seseorang tidak boleh dianggap bersalah sehingga terbukti bersalah.
Keadilan diberikan kepada setiap individu.
Hukuman dijatuhkan berasaskan bukti yang cukup.



PERUNDANGAN INDIA :

Bagaimanakah undang-undang dilaksanakan dalam tamadun India?
[4 markah]
Undang-undang dalam tamadun India adalah berasaskan agama Hindu. Undang-undang dirujuk kepada kitab Dharma Sastra. Raja bertanggungjawab menjaga kesucian dan kedaulatan undang-undang.

Segala kesalahan yang dilakukan akan dikenakan denda. Denda bergantung kepada keseriusan kesalahan tersebut.

Brahmin sangat penting dalam melaksanakan undang-undang. Brahmin mentafsir undang-undang berdasarkan hukum-hakam agama.

Undang-undang disampaikan sebagai titah atau perintah raja. Titah raja diukir pada tiang batu / Tiang Asoka yang didirikan di tepi jalan untuk dibaca oleh rakyat.



PERUNDANGAN CHINA :

Bagaimanakah undang-undang berasaskan falsafah legalisme dilaksanakan dalam tamadun China?
[4 markah]
Undang-undang dilaksanakan dengan tegas. Tiada rasa belas kasihan dalam melaksanakan undang-undang. Seseorang yang bersalah tidak berpeluang membuat rayuan.

Undang-undang dikuatkuasakan dalam semua keadaan sama ada semasa aman atau semasa peperangan.

Raja mempunyai kuasa dalam melaksanakan undang-undang. Raja berhak menjatuhkan hukuman kepada orang yang melakukan kesalahan.



KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI (KBAT) :

Jelaskan perbezaan prinsip undang-undang berasaskan falsafah legalisme dengan prinsip undang-undang berasaskan ajaran Confucius dalam tamadun China.
[4 markah]

Penskoran Analitik
Undang-undang berasaskan falsafah legalisme mengenakan hukuman yang berat. Undang-undang ini memberi kuasa penuh kepada rajadalam melaksanakan undang-undang. Undang dijatuhkan tanpa belas kasihan. Undang-undang dilaksanakan dalam semua keadaan.

Undang-undang berasaskan ajaran Confucius pula adalah bercorak kolektif . Undang-undang inin lebih bersifat memberi pendidikankepada masyarakat. Raja perlu mempunyai pekerti yang baik. Raja hendaklah menjadi contoh teladan dalam menjaga keharmonianmasyarakat.


Pada pandangan anda, mengapakah undang-undang Rom masih kekal sehingga hari ini?
[4 markah]
Penskoran Holistik
Undang-undang Rom masih kekal sehingga hari ini kerana undang-undang tersebut menjamin keadilan kepada setiap individu. Sebagai contohnya, setiap individu adalah sama dari segi undang-undang. Setiap individu berhak mendapat keadilan. Seseorang yang dituduh melakukan kesalahan akan dibicarakan terlebih dahulu. Individu tersebut diberi hak untuk membela diri. Hal ini menyebabkan seseorang yang dituduh tidak boleh dikatakan bersalahsehingga terbukti dia bersalah. Kesimpulannya, undang-undang tersebut sangat praktikal kerana hukuman dijatuhkan berasaskan bukti yang cukup. Perkara tersebut dapat menjamin hak asasi manusia ditegakkan. Akhirnya, keadaan tersebut akan membawa kesejahteraan kepada masyarakat dan negara.


Apakah kemungkinan yang akan berlaku sekiranya masyarakat bersikap membelakangkan undang-undang?
[6 markah]
Penskoran Holistik
Sekiranya masyarakat bersikap membelakangkan undang-undang, negara akan menjadi huru-hara. Sebagai contohnya, masyarakat tidak takut untuk melakukan jenayah. Sesetengah pihak pula mengambil kesempatan menyebarkan ideologi berhaluan kiri yang mengancam keselamatan negara. Ada juga pihak tertentu yang melakukan penindasan dan penipuan dalam urusan perniagaan dan perdagangan. Hal ini menyebabkan keselamatan harta benda dan nyawa terancam. Keselamatan yang tidak terjamin menyebabkan pelabur asing kurang berminatuntuk menanam modal membuka perusahaan di negara kita. Oleh itu, peluang pekerjaan yang semakin berkurangan mengundang berlakunya gejala sosial. Sebagai rumusannya, keadaan tersebut amat merugikan negara kerana negara akan menjadi mundur. Taraf hidup rakyat yang rendah menyebabkan perkembangan ekonomi terjejas.


Undang-undang perlu dilaksanakan dengan tegas supaya dapat mengawal tingkah laku masyarakat.
Berikan komen anda.
[6 markah]
Penskoran Holistik
Undang-undang perlu dilaksanakan dengan tegas supaya dapat mengawal tingkah laku masyarakat. Ini adalah kerana ketegasan undang-undang menyebabkan masyarakat takut hendak melakukan kesalahan jenayah. Contohnya, hukuman mati mandatoriterhadap pengedar dadah dapat mengurangkan kegiatan penyeludupan dadah di negara kita. Undang-undang ini telah menjadi ikutan beberapa buah negara lain di dunia.

Undang-undang yang tegas itu dapat menjadi pengajarankepada orang lain agar tidak melakukan kesalahan yang serupa. Pelaksanaan itu memberikan kesan yang baik kepada masyarakat dan negara. Keadaan tersebut dapat mendidik masyarakat menjadi lebih berdisiplin dan mematuhi undang-undang negara. Dengan itu, undang-undang dan kedaulatan negara kita dihormati oleh negara lain.

Copyright © Koleksi Pendidikan Template Design by RzaaL 1306