Tajuk Ramalan Sejarah Kertas 2 SPM 2017 : Tamadun Hwang Ho

TAMADUN HWANG HO :

Proses pembentukan tamadun Hwang Ho

FAKTA :
Faktor semula jadi yang membantu pembentukan tamadun Hwang Ho
Ciri-ciri penting tamadun Hwang Ho
      (i)   Petempatan kekal (Bandar)
      (ii)  Sistem pemerintahan (Pemerintahan beraja)

Sumbangan penting tamadun Hwang Ho
      (i)  Kemajuan dalam bidang pertanian
     (ii)  Amalan penggunaan kalendar


KBAT :

Peranan sungai Hwang Ho terhadap pembentukan tamadun Hwang Ho
Rasionalnya tamadun terbina di lembah sungai
Hubungkait keadaan semula jadi yang ada di sekitar lembah Hwang Ho dengan pembentukan tamadunnya.
Cara manusia hari ini memanfaatkan teknologi pertanian dalam tamadun Hwang Ho untuk memajukan pertanian pada hari ini.


PROSES PEMBENTUKAN TAMADUN :

Jelaskan proses pembinaan tamadun Hwang Ho.  
[4 markah]
Penduduk nomad membina petempatan kekal di kawasan sekitar lembah Hwang Ho. Mereka menjalankan aktiviti pertanian, menternak binatang, memungut hasil hutan dan memburu. Petempatan kekal ini melahirkan bandar. Pembentukan bandar telah membawa kemajuan dari segi perluasan wilayah dan penyebaran budaya. Akhirnya wujud organisasi sosial dan pengkhususan pekerjaan. Penduduk yang ramai menyebabkan terbentuknya sistem pemerintahan yang bertujuan mengawal masyarakat. Untuk mengukuhkan kedudukan pemerintah, mereka  mewujudkan agama dan kepercayaan. Untuk melicinkan pentadbiran, mereka mencipta sistem tulisan.


Nyatakan keadaan semula jadi di sekitar lembah Hwang Ho.  
[2 markah]
Sungai Hwang Ho
Lembangan Szechwan
Teluk Bo Hai
Laut Kuning


Bagaimanakah keadaan semula jadi yang terdapat di sekitarnya membantu pembentukan tamadun Hwang Ho?
[4 markah]
Sungai Hwang Ho membekalkan air untuk kegunaan harian. Contohnya untuk mandi-manda, mencuci dan sebagai minuman. Selain itu air sungai menjadi punca pengairan untuk pertanian. Sungai Hwang Ho juga membekalkan sumber protin untuk dijadikan makanan kepada penduduk. Contohnya, ikan, udang, ketam, kerang dan sebagainya.

Lembangan Szechwan mempunyai tanah yang subur untuk pertanian. Penduduk memanfaatkan kesuburan tanah tersebut untuk menanam pelbagai jenis tanaman makanan. Contohnya, padi, gandum, sekoi, ubi dan lain-lain. Bekalan makanan yang cukup dapat menampung jumlah penduduk yang ramai.

Teluk Bo Hai mempunyai laut yang tenang. Laut di persekitarannya juga dalam. Hal ini menyebabkan kawasan muara sungai Hwang Ho sangat sesuai untuk dijadikan pelabuhan. Kapal dagang berlabuh di kawasan teluk tersebut kerana terlindung daripada tiupan angin kencang. Pedagang dari luar datang berdagang ke Lembah Hwang Ho melalui Laut Kuning.


Terangkan peranan sungai Hwang Ho terhadap pembentukan tamadun Hwang Ho.
[6 markah]
Sungai Hwang Ho melimpahkan mendapan lanar di tebingnya setiap kali selepas musim banjir. Mendapan lanar menjadikan tanah di lembangan amat subur. Penduduk menjalankan aktiviti pertanian di lembah Hwang Ho. Mereka menanam tanaman makanan seperti padi, gandum, jagung, ubi dan lain-lain. Dengan itu mereka memperoleh bekalan makanan yang berlebihan. Bekalan makanan yang banyak dapat menampung jumlah penduduk yang ramai. Penduduk dari kawasan lain berhijrah untuk membina petempatan kekal di situ.

Selain itu, sungai Hwang Ho membekalkan sumber air untuk penduduk. Sungai Hwang Ho menjadi punca air untuk mengairi kawasan pertanian yang kering. Penduduk membina sistem pengairan seperti tali air, terusan dan peparitan untuk mengalirkan air sungai ke kawasan pertanian. Di samping itu, air sungai juga menjadi sumber kegunaan harian penduduk. Mereka menggunakan air sungai sebagai minuman, mandi-manda, mencuci dan sebagainya.

Seterusnya, sungai Hwang Ho menjadi laluan perhubungan dan pengangkutan. Sungai ini digunakan sebagai jalan untuk penduduk mengangkut hasil pertanian dari Lembah Szechwan ke muara sungai untuk didagangkan. Pedagang luar juga menggunakan sungai Hwang Ho untuk pergi ke bandar-bandar yang terdapat di sekitar lembahnya.


Pada pandangan anda, mengapakah penduduk nomad membina petempatan kekal di sekitar lembah Hwang Ho?
[3 markah]
Penduduk nomad membina petempatan kekal di sekitar lembah Hwang Ho kerana kawasan tersebut mempunyai tanah yang subur. Contohnya, tanah yang terhasil daripada mendapan lanar setiap kali selepas musim banjir. Hal ini menyebabkan penduduk dapat menjalankan aktiviti pertanian. Mereka menanam padi, gandum, ubi dan sebagainya. Oleh itu mereka mendapat bekalan makanan yang mencukupi untuk menampung jumlah penduduk yang ramai.
Selain itu, mereka membina petempatan kekal di situ kerana sungai Hwang Ho membekalkan sumber protein bagi penduduk. Contohnya, hidupan sungai seperti ikan, udang, ketam, kerang dan lain-lain. Sumber protein ini boleh dijadikan makanan.
Di samping itu, sungai Hwang Ho membekalkan air untuk pengairan. Air sungai disalurkan ke kawasan pertanian dengan menggunakan tali air, peparitan dan kincir air. Tanaman dapat hidup subur dan mengeluarkan hasil yang banyak.
Air sungai juga menjadi sumber kegunaan harian. Contohnya, sebagai minuman, untuk mandi-manda, mencuci dan sebagainya. Penduduk dapat menikmati kemudahan yang selesa.


CIRI-CIRI TAMADUN HWANG HO :

(i)    Petempatan Kekal – Kemunculan Bandar

Nyatakan keunikan bandar Anyang berbanding bandar-bandar lain di lembah Hwang Ho.
[2 markah]
Bandarnya terletak di kawasan tanah tinggi
Bandar ini menjadi pusat pentadbiran
Terdapat istana, kuil dan pusat pentadbiran
Menjadi tempat tinggal raja, pembesar dan golongan agama
Rakyat tidak dibenarkan tinggal di bandar ini
Bandar ini dikelilingi oleh perkampungan petani.
Bandar ini dilengkapi tembok


(ii)    Sistem Pemerintahan – Sistem Pemerintahan Beraja

Jelaskan sistem pemerintahan beraja dalam tamadun Hwang Ho
[2 markah]
Raja mempunyai kuasa tertinggi
Raja berkuasa dalam politik, ekonomi, sosial dan agama
Raja berkuasa di kawasan pusat pentadbirannya
Raja dibantu oleh golongan bangsawan dan pegawai kerajaan
Golongan bangsawan diberi kuasa mentadbir wilayah
Bangsawan dibenar mewujudkan sistem cukai, pertahanan dan undang-undang sendiri di wilayah pemerintahannya


Bagaimanakah raja-raja Dinasti Chou memastikan pembesar tempatan memberikan taat setia mereka kepadanya?
[2 markah]
Mengarahkan pembesar melafazkan ikrar taat setia
Memberikan hadiah kepada pembesar (kereta kuda, senjata gangsa, hamba dan binatang)
Meminta pembesar melindungi keselamatan raja
Meminta pembesar memberikan bantuan tentera semasa perang
Melantik pembesar menjadi ketua agama
Memberikan hak kepada pembesar menjalankan upacara korban


SUMBANGAN TAMADUN HWANG HO

Nyatakan kemajuan dalam bidang pertanian yang dicapai oleh penduduk di Lembah Hwang Ho.
[2 markah]
Menggunakan sistem pengairan
Menggunakan peralatan pertanian (bajak, cangkul, sabit, dll)
Menggunakan batas
Menggunakan baja
Menggunakan sistem teres
Menggunakan sistem tanaman bergilir


Sejauhmanakah kita boleh memanfaatkan teknologi pertanian dalam tamadun Hwang Ho untuk meningkatkan kemajuan pertanian di negara kita?
[6 markah]
Kita boleh menggunakan sistem pengairan untuk meningkatkan kemajuan pertanian di negara kita. Sebagai contohnya, kita menggunakan tali air, terusan dan peparitan untuk menyalurkan bekalan air ke kawasan pertanian yang kering. Hal ini menyebabkan kita dapat membekalkan air yang cukup untuk tanaman. Usaha tersebut memberikan manfaat kepada negara kerana kita dapat mengubah kawasan yang kering menjadi kawasan pertanian yang produktif. Akhirnya, kita memperoleh bekalan makanan yang mencukupi. Kita boleh menjimatkan dana negara kerana kita tidak perlu bergantung kepada bekalan makanan yang diimport.

Kita juga boleh menggunakan batas dalam kegiatan penanaman. Contohnya penggunaan batas dalam penanaman sayur, buah-buahan dan lai-lain. Hal ini dapat mengelakkan tanaman musnah ditenggelami air apabila musim hujan. Penggunaan batas sangat berguna kerana ia dapat menghasilkan pengeluaran yang baik sepanjang tahun.


Terangkan sumbangan tamadun Hwang Ho kepada peradaban dunia pada hari ini.
[6 markah]
Tamadun Hwang Ho memberikan sumbangan dalam sistem pemerntahan. Sistem pemerintahan monarki diteruskan hingga hari ini. Sistem pemerintahan monarki masih diamalkan oleh kebanyakan negara pada hari ini. Raja mempunyai kuasa dalam perkara yang berkaitan politik, ekonomi, sosial dan agama.

Tamadun Hwang Ho memberikan sumbangan dalam penggunaan teknologi pertanian. Tamadun Hwang Ho memberikan sumbangan dalam pembinaan sistem pengairan. Terusan dibina untuk menyalurkan air ke kawasan pertanian dan mengelakkan banjir. Selain itu, tamadun Hwang Ho membawa kemajuan dalam teknologi pembajakan serta penggunaan cangkul dan sabit. Peralatan pertanian mula dibuat daripada besi bagi menggantikan peralatan kayu.

Tamadun Hwang Ho memberikan sumbangan dalam penggunaan tulisan. Penciptaan tulisan ideogram telah berkembang secara evolusi menjadi tulisan sebagaimana yang terdapat pada hari ini. Tulisan digunakan dengan meluas dalam bidang penulisan dan percetakan. Tulisan China juga diajar di sekolah-sekolah.

Selain itu, tamadun Hwang Ho memberikan sumbangan dalam aspek kepercayaan. Antara kepercayaan yang masih berkekalan hingga ke hari ini ialah pemujaan roh nenek moyang. Konsep Yin dan Yang serta Feng Hsui merupakan kepercyaan yang masih terdapat dalam masyarakat Cina hingga ke hari ini.

Copyright © Koleksi Pendidikan Template Design by RzaaL 1306