Industri kraf tangan mempunyai potensi yang besar di negara kita meskipun menghadapi pelbagai masalah.

Apakah langkah-langkah yang dapat diambil untuk memajukan industri ini? Jelaskan.

Industri kraf tangan ialah kerja-kerja yang berkaitan dengan penghasilan barangan kraf tradisional. Industri ini merupakan satu industri yang berpotensi besar untuk membantu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat terutama masyarakat desa. Oleh itu, wujud pelbagai prakarsa yang boleh dilakukan untuk memajukan industri ini ke tahap yang lebih baik lagi.

Langkah yang paling berkesan untuk memajukan industri ini adalah dengan membina lebih banyak pusat kraf tangan di negara ini. Penubuhan lebih banyak pusat kraf sebegini sudah pasti menjadikan lebih banyak produk yang boleh dipamerkan dan mudah untuk diperoleh oleh pelancong terutama dari luar. Dalam masa yang sama pusat ini juga boleh dijadikan sebagai tempat melatih lebih banyak penggiat industri ini pula.

Selain itu,kerajaan juga harus menjalankan usaha untuk meningkatkan produktiviti industri ini. Pengenalan teknologi dan reka bentuk yang unik sudah pasti mampu meninggikan lagi keluaran industri ini supaya kos menjadi lebih murah dan harga yang dikenakan kepada pembeli boleh dikurangkan sehingga ke tahap minima. Produktiviti yang tinggi juga menjadikan industri ini lebih berdaya saing dan kreatif untuk memastikan produk mereka terus mendapat tempat dalam hati pelancong.

Dalam pada itu, kempen kesedaran yang meluas harus dilaksanakan terutama dalam kalangan generasi muda. Sudah ada remaja yang tidak lagi mengenali hasil kraf tangan negara kerana mereka tidak menggunakan produk itu sebaliknya lebih suka menggunakan sesuatu yang lebih moden atau berteknologi tinggi. Kempen yang meluas juga mampu mengiklan dan meninggikan imej hasil kraf tangan pada masa yang sama.

Di samping itu, produk kraf tangan ini juga perlulah menggunakan hasil semula jadi yang wujud di Malaysia. Usaha mengeksploitasikan sumber semula jadi negara untuk dijadikan kraf tangan mampu memberikan sentuhan unik terhadap produk tersebut lalu meninggikan permintaannya pada masyarakat luar. Bukankah kraf tangan harus menggunakan sumber semula jadi tempatan?

Konklusinya, industri ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Semua negara menghargai hasil kraf tangan mereka dan menjadi tugas kita untuk memastikan hasil ini terus hidup subur dalam negara ini seperti kata pepatah tak lapuk di hujan, tak lekang dek panas.Kegagalan kita mengekalkan kraf tangan seolah-olah menjadi bukti betapa rendahnya pandangan masyarakat terhadap industri kraf tangan sendiri.

Dipetik dan disusun semula daripada blog pmrbest.blogspot.com

Copyright © Koleksi Pendidikan Template Design by RzaaL 1306