Pelajar lebih suka menghadiri kelas tuisyen daripada mengikuti kelas tambahan yang diadakan oleh pihak sekolah.

Bersetujukah anda dengan pendapat di atas dan kemukakan alasan-alasan anda.

Kini kelas tuisyen sudah menjadi satu kelaziman buat pelajar terutama di kawasan bandar. Ada pihka yang mengaitkan kepesatan pertumbuhan pusat tuisyen ini dengan kegilaan pelajar datang belajar di kelas mereka. Namun, adakah kelas di sekolah biasanya tidak mampu memberikan pendidikan yang lebih baik daripada pusat tuisyen ini?

Sebenarnya kelas tambahan yang diadakan di sekolah tidak dikenakan sebarang bayaran dan jika ada bayaran pun hanya untuk menaggung kos cetakan bahan bacaan sahaja. Manakala kelas tuisyen semuanya mengenakan kadar bayaran yang tertentu mengikut tempat dan suasana pusat tuisyen itu dan sudah pasti kos yang tinggi akan menyusahkan sesetengah ibu bapa pula. Anak-anak perlu sedar bahawa ibu bapa terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk menangung kehidupan mereka.

Selain itu guru-guru di sekolah lebih arif dengan sukatan pelajaran kerana mereka sering menghadiri kursus yang dianjurkan oleh pihak kerajaan terutama Kementerian Pendidikan. Kebanyakan guru sekolah juga pernah membuat soalan untuk peperiksaan lalu mempunyai kemahiran dalam menjawab sesuatu soalan tersebut. Jadi, pelajar harus lebih yakin akan kemampuan pihak guru sekolah dalam memberikan pendidikan kepada mereka.

Malahan, suasana belajar di sekolah lebih selamat kerana kawasan sekolah biasanya mempunyai pengawal keselamatan dan jauh daripada sebarang ancaman yang tidak sihat. Begitu juga gangguan bunyi tidak berlaku di kawasan sekolah. Namun, keadaan yang sebaliknya pula berlaku di pusat tuisyen kerana biasanya pusat ini akan berada di kawasan yang padat dengan penduduk dan di bandar.

Kemungkinan sebab pelajar lebih suka belajar di pusat tuisyen ialah aspek disiplin tidak dipentingkan sangat. Pakaian yang agak bebas, boleh datang lewat dan masa belajar yang biasanya pada sebalah malam sesuai buat sesetengah pelajar. Jelaslah, pelajar harus sedar perkara yang penting ketika belajar ialah kemampuan mereka memahami pelajaran dan bukanya aspek sosial yang ingin ditekankan pencapaiannya pula.

Kesimpulannya, belajar menjadi tanggung jawab kita semua dan belajar di sekolah atau di pusat tuisyen bukanlah sesuatu yang penting. Pelajar harus sedar mereka datang ke sekolah dan pusat tuisyen untuk belajar bukannya mencari keseronokan hidup. Hidup pelajar harus dihabiskan dengan mencari ilmu sedalam yang mungkin.

Copyright © Koleksi Pendidikan Template Design by RzaaL 1306