Remaja pada masa sekarang mudah terpengaruh dengan budaya negatif.
Huraikan sebab-sebab berlakunya perkara tersebut.
Remaja merujuk golongan yang berumur belasan tahun dan belum bekerja atau masih bersekolah. Antara budaya negatif yang sering menghantui remaja kita meliputi penagihan dadah, jenayah, dan menyertai kumpulan samseng. Sebenarnya, ada pelbagai faktor yang membawa remaja kita mudah terpengaruh dalam aktiviti sedemikian itu.
Faktor kurangnya pegangan agama menjadi teras menularnya masalah ini terutama dalam kalangan remaja di kawasan bandar. Ketiadaan kefahaman agama yang kukuh telah membawa remaja kita begitu mudah untuk melakukan sesuatu perkara yang tidak baik itu. Maka, tanpa pegangan agama kehidupan remaja kita menjadi begitu mudah untuk terjebak dalam aktiviti budaya songsang ini.
Selain itu, remaja kita melihat budaya luar terutama dari Barat itu sebagai sesuatu yang moden dan mengikut peredaran zaman. Mereka begitu taksub untuk meniru budaya kuning itu kerana menyedari itulah norma yang harus dicontohi oleh mereka tanpa sebarang cubaan untuk menilainya sebagai objektif pula. Jadi, persepsi mengenai budaya luar itu sebagai budaya yang mulia telah menjerumuskan remaja kita ke lembah yang hina itu.
Malah, ibu bapa zaman globalisasi ini begitu sibuk dengan urusan pejabat lalu melupakan tugas mendidik anak itu. Ketiadaan perhatian dan didikan ibu bapa telah memudahkan anak remaja kita untuk terpesong daripada budaya tempatan yang penuh kesopanan tersebut. Jelaslah, ibu bapa yang terlalu mementingkan kerjaya sendirilah yang menghancurkan masa depan remaja itu.
Namun, kita juga tidak boleh menolak penularan gejala sosial dalam kalangan remaja kita disebabkan oleh rakan sebaya. Remaja lebih banyak menghabiskan masa dengan rakan sebaya berbanding masa bersama-sama ibu bapa dan pihak sekolah. Lantaran itu, remaja lebih mempercayai kata-kata dan penerangan rakan sebaya yang sengaja membawa remaja itu ke arah kemudaratan semata-mata.
Kesimpulannya, semua faktor yang dihuraikan tadi memang telah membawa remaja kita terlibat dalam pelbagai aktiviti yang bercorak negatif itu. Semua pihak terutama ibu bapa hendaklah menyedari kemelut ini lalu segera mengambil langkah mencegahnya. Bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara, yang membuktikan betapa pentingnya golongan remaja ini kepada masyarakat dan negara kita.
Home »Unlabelled » Punca-punca Remaja Mudah Terpengaruh Dengan Budaya Negatif